Thursday, May 23, 2019

Beraya dengan mak

Zzzrrrr zrrrrr zrrrrr...
Bunyi mesin jait mak...

'dik, pi kedai' panggil mak sedang aku sibuk menyusun biji saja di tepi dinding.

'pi kedai beli apa' pantas aku menyahut, paling gembira kalau mak suruh ke kedai. Selalunya mak bagi upah. Paling cikai dua kupang.

'pi hantaq jahit tepi kat kedai Lo' balas mak sambil memasukkan beberapa helai kain ke dalam beg plastik.

'boleh... upah ?' Sanggup aku sambil tersengeh2.
'dua kupang mak' sambung aku tidak sabar sambil mendekati mak kerana ingin mengambil bungkusan di tangannya.

'ha la.. ni duit, lebih ni beli tembakau tiga kupang' balas mak seraya menyerahkan duit tiga ringgit. Upah sepasang baju jahit tepi hanyalah lima puluh sen.

'cakap dekat Makcik Lo, tu ada 4 pasang' bungkusan kain dan duit bertukar tangan.

Aku berlari riang menuruni tangga rumah berek polis di Pekan Yan, Kedah

Gedebam... aku terjatuh...

'hahahaha.. padan muka' gelak chik yang sememangnya menunggu aku jatuh.

Beberapa pasang kasut sengaja di tindan-tindan ditangga supaya langah aku terbabas dan tergelincir. Chick adalah suspek utama sebab itu bukan kali pertama aku terjelepuk di tangga dan aku tak pernah belajar dari pengalaman.

'Makkkkkkkkkk !' Jerit aku sekuat hati.
'Makkkkkkk... Chik buat !' jerit aku lagi, hi-pitch nyaring...

'Padan muka' chik mencebik bibir dah berlari turun menuju ke rumah kawannya di hujung berek.

'Alliiiiiiii !' Jerit mak pula. Tiba-tiba mak sudah tercegat di tepi beranda.

Chik menghilang dengan pantas, kuasa kuda budak lelaki berumur 11 tahun.

Menghantar kain ke kedai Lo adalah sesuatu yang direbutkan antara aku dan Chik. Kami berlumba untuk menerima upah.

Selepas mak menyapu ala kadar lutut aku, tangis aku mulai berhenti. Sebenarnya jatuh tidaklah menyakitkan, tapi sakit hati terhadap Chik melebihi segalanya. Akan ada sahaja benda yang dibuatnya menyakitkan hati aku.

Aku berlari-lari keluar dari kawasan berek. Berek dan balai polis berkongsi pintu pagar utama. Untuk keluar aku akan melintasi balai polis. Kelihatan Pakya sedang duduk menulis di meja utama ada seorang di hadapannya. Mungkin orang kampung yang sedang membuat report. Kes-kes biasa aku dengar bila aku bermain di belakang post pos polis adalah report penduduk kampung yang hilang binatang ternakan, ternakan di racun, kebun di ceroboh, kawaq masuk rumah, kes pukau, kes kianat ahh banyak lagi. Baru-baru Kak Nah mai report kata suami dia pukul. Kak Nah kawan mak, aku kenal sebab selalu hantar tempah baju kat mak. Kesian Kak Nah, habis bengkak mulut dan pipi dia. Mak ajak dia tidoq rumah kami sampai suami dia kena tangkap, sekarang aku tak tau apa jadi. Suami dia dah kena tangkap ka dak pun kami tak tau. Kak Nah balik dah pun.

Pakcik Wong tersenyum ketika aku melepasi pos kawalan. Sarjan Umaq dengan pakaian biasa berada di tepi pos sambil bercakap dengan abang Lan anaknya yang baru pulang dari mengaji.

'Wati, jalan baik-baik. Nanti lintas jalan elok-elok tengok kereta' pesan Pakcik Wong yang sedang berkawal. Pakcik Wong tinggal di luar berek, mak kata sebab berek sudah penuh. Pakcik Wong baru di tukarkan ke Yan, sebelum ini dia bertugas di Balai Polis Merbok tapi apapun dan siapapun, semua anggota Polis di Berek Yan sayang aku. Hahahaa... diorang layan aku dengan baik macam anak-anak diorang.

Barisan gigi rongak aku jelas terpamir, tersengeh aku memandang Pakcik Wong. Kadang-kadang Pakcik Wong membawa anaknya ke berek tetapi aku tak berkawan sangat sebab anak Pakcik Wong dah sekolah menengah diorang lebih berkawan dengan Yang dan Nyah dan Chik dan Yong.

Aku meluru laju keluar dari pintu pagar balai, dalam kepala ligat memikarkan dua puluh sen yang akan dibelanjakan.

Kuaci lima duet, aiskrim oren sekupang ada lima duet pun ada... hmmm fikiran aku sibuk mencongak.

Seberang jalan aku nampak abah berdiri segak dengan uniform polis sedang berbual dengan rakannya yang berbaju biasa, bukan seorang anggota polis, penduduk berek dan polis di Yan semua aku kenal. Semua orang di Pekan Yan adalah kawan abah. Pekan kecil berapalah sangat penduduknya.

Haa nak kene pau jugak ni fikir aku sambil tersenyum memandang abah yang sedang melambai memanggil aku.

'Abah.. abah' panggil aku.

Abah menghulur tangan dan aku menyambutnya. Seperti biasa aku jadi seekor anak kucing melekat di badan abah. Tangan aku sebelah merangkul pinggang abah. Abah paham sangat tugas aku dan Chik, dia hanya memandang bungkusan di tangan aku tanpa bertanya.

'ni wati, abah kenalkan aku kepada kenalannya. Aku tersipu-sipu sambil menyalam rakan abah, macamkan aku tidak kenal BangNoh, rakan abah.

Abah memang sebegitu, sentiasa akan memperkenalkan aku kepada kawan-kawannya walau kami sudah kenal. BangNoh, walau layak dipanggil pakcik oleh aku adik bradik, kami tetap memanggilnya BangNoh. Mak ayah BangNoh adalah mak ayah angkat abah dan mak kami.

'wati xpi sekolah ka ni' tanya BangNoh.
'hehehehheee' aku tersengeh tanpa menjawab.

'kami nak pi hantaq kain mak' balas aku tanpa menjawab.

'ha elok-elok' balasnya sambil beraba kocek seluarnya.

'nah dua kupang, BangNoh belanja' BangNoh menghulurkan dua pulun sen. BangNoh hanya berkerja kampung, berkebun sendiri dan juga mengambil upah menjaga kebun orang. Kadang-kadang bila musim buah, BangNoh akan menjual hasil kebun di tepi perhentian bas depan berek polis. Kami selalu menerima buah-buahan percuma, bukan sahaja dari BangNoh tapi juga dari penduduk lain. Meriah kalau musim buah. Kalau musim padi, berbondong kawan-kawan abah sedekahkan beras kepada kami.

Aku dah tak tahu erti malu, pantas mengambilnya seraya berterima kasih.

Abah hanya memandang tersenyum.. sekali lagi gigi-gigi aku yang rongak jelas terpamir hehehe...

'kami pi dulu naaa...' balas aku yang gembira seolah baru terima loteri terbesar. Dalam kepala sambung mencongak... dua kupang campoq dua kupang... uuuuiii boleh dapat lapan aiskrim oren...

Beli lapan ais krim nanti tak habis, nanti Chik mintak.. tak boleh.. Chik kedekut, tak boleh bagi dia. Satgi Yang mintak pulak, tak boleh tak boleh. Tapi hari tu Yang belanja cekelat lima duet... kena belanja dia balik ka... fikiran aku ligat berfikir.

Beli cekelat sekupang dapat 3, kalau beli pat kupang dapat tiga campoq tiga campoq tiga campoq tiga.. hmmm banyak. Oklah beli cekelat.. tapi beli kam kam dapat mainan...

Payahnya nak buat keputusan.

Sambil ligat berfikir kaki aku sudah tiba di depan mesin Jahit Makcik Lo. Aku serahkan kain, Makcik Lo dah paham sangat...

'Makcik lama dak nak kena tunggu, buat la baju mak kami dulu..' pujuk aku. Sebeban kain menggunung di meja bersebelahan mesin jahit Makcik Lo.

Makcik Lo yang sedang menjahit mendongak memandang aku.

'Lu Wati' balas Makcik Lo sambil melepas kain baru dihabiskan jahitnya.

'ya la ya la, itu dato mata-mata ada sana, saya buat sekarang hoh..' balas Makcik Lo selepas menoleh ke kedai kopi tempat abah dan BangNoh sedang berbual. Dato mata-mata yang Makcik Lo maksudkan adalah abah. Aku memandang ke arah abah yang masih berbual dengan Pakcik dua kupang tadi. Bagus juga jadi anak polis fikirku. Abah masih berdiri tanpa ada tanda-tanda ingin duduk.

Sementara menunggu Makcik Lo selesai aku masuk ke kedainya. Kedai Makcik Lo berkongsi kedai dengan kakaknya yang menjual barangan jahit dan barangan keperluan lain dan juga jajan dan aiskrem. Bahagian kegemaran abadi selain bahagian alatan sekolah pensil tekan, kotak pensil, pemadam, gurmit. Beli kasut sekolah pun kat kedai kakak Makcik Lo.

'Wati, mai sini' Mei Mei memanggil dari dalam kedai. Mei Mei adalah anak ketiga Makcik Lo, darjah 5 sama dengan Chik, bezanya Mei Mei pandai... hehee padan muka Chik... bluek.

Dia selalu tolong Makcik Lo sapu kedai. Mei Mei ada abang tingkatan 5, kawan Yong. Dia selalu main pingpong kat sekolah Cina seberang belah kanan balai polis , kadang-kadang Chik pun ikut. Yong baik, Chik jahat !

Aku penah ikut, tapi aku balik, sebb xdak sapa nak main dengan aku. Depa semua orang besaq. Mei Mai suka baca buku tak main benda peluh. Kadang-kadang main chess, aku tak reti.

'kita main kad nak?' Ajak Mei Mei.

Aku tersengeh-sengeh mengangguk.

'kami tak tau' jujur aku mengaku.

'Alah.. ini kad kita bagi la.. sapa ada nombo paling besaq, dia menang' Mei Mei mengajar.

Aku perhatikan kad di tangan Mei Mei. Sama macam kad yang Chik selalu main dengan kawan-kawan dia, tapi Chik punya busuk, Mei Mei punya wangi. Chik tak pernah ajaq aku main.

Zzzzrrrr... Zzzrrrrrr bunyi mesih jahit Makcik Lo. Sama macam aku Mei Mei tak terkesan langsung dengan bunyi bising mesin jahit.

Aku tengok tangan Mei Mei lincah menyusun kad. Jari dia cantik, kuku dia warna merah sama macam Makcik Lo.

Kakak Makcik Lo keluar ke depan kedai menyusun pelita yang dia jual. Raya tak lama lagi, semalam Chik tolong abah susun pelita kat keliling balai lepas tu kami main bunga api Pakcik Wong belanja.

Jangan harap la abah nak beli bunga api, mercun dan sebagainya... baik dia belikan aku benda lain... haha abah punya prinsip benda-benda tu bakaq duit.

Tapi kadang-kadang ada ja bunga api Chik dengan Yang main, mana ntah depa ambik. Pelik.. sebagai budak kecik aku tak pikiaq sangat la. Depa huluq bunga api kucing cucuk dengan batang pelepah pisang, aku terlompat-lompat main. Takut pegang teruih batang bunga api tu..

Sebut raya, aku perasan banyak lagi baju mak tak siap jahit. Semalam mak dengan Yang buat kueh raya, aku tengok Chik pun tolong. Rajin jugak dia susun kueh satu-satu masuk dalam balang.

Aku bangun tido mak dah menjahit... aku tidur pun mak menjahit, aku lapaq ada ja makanan. Mak pakai magic stick... mak kami hebat. Kadang-kadang mak masih boleh ikut geng perkep buat aktiviti kat Gurun. Masak la, menjait, menyulam la. Kelas menembak ja kami tak boleh ikut. Kami pun tak tau kelas menembak tu lagu mana.

Minggu lepas kami orang-orang berek polis, ramai-ramai pi buka puasa kat Pantai Murni. Untuk acara ni saja mak buatkan aku dengan Chik baju sedondon warna kelabu. Aku dengaq Chik bising kat mak dia takmau pakai tapi mak marah.

Pelik, aku bangga ja pakai baju mak buat sama kaler. Sumpah aku bangga. Sebagai protes Chik bawak basikal laju gila masa bawak aku pi Pantai Murni, dia memang tak pernah suka aku pun... takpa la aku tau lepas tu dia akan kena marah dengan mak. Aku janji dia akan kena marah. Hehehee..

Betul, aku tak payah mengadu, makcik Mah, makcik Kiah bagitau mak Chik bawak basikal macam orang gila bawak aku pi Pantai Murni. Sesungguhnya aku tersangat bangga ada insan-insan yang perihatin mengadukan masalah aku.

Masa buka puasa kat Pantai Murni, muka Chik kelat. Aku seenaknya makan LaiChiKang, sate dan laksa...

Padan muka kena marah.. aku senyum-senyum memandang Chik yang mencuka. Heheheeee... lepas makan kami ligan ketam tepi pantai. Orang lelaki dewasa semua pi masjid tapi ada jugak perempuan pegi. Abah keja, tadi dia lambai tangan dari dalam balai masa kami keluaq dengan Chik. Abah selalu keja...

Kami, Dekda, Norli, KakIta dan Kak Jun jalan kat jeti. Angin malam lembut je sejuk...

Kain mak siap, Makcik Lo memanggil dan selepas membayar tanpa berlengah kami keluar, sempat babai ke Mei Mei. Mei Mei tak marah pun, malah membalas babaian kami.

Abah sudah tidak ada, aku ke kedai hujung sebelah sana, kedai uncle Milo. Masa aku sampai Uncle Milo sedang menyusun colok depan kedai.

Aku terus ke deretan jajan. Aku ambil cekelat dua kupang, aiskrem oren satu dan kuaci 2 paket. Ngam-ngam pat kupang.

Uncle Milo langsung tidak mengira duit yang aku bagi sebaliknya terus menyimpan ke dalam tin yang tergantung di ceiling kedai. Dia melepaskan tali yang terselit di dinding kedai dan tin duit pun turun, selepas memasukkan duit empat kupang aku, dia menarik tali itu dan menyelit semua ke dinding. Aku teringin untuk menarik tali tersebut, macam best.

'Bai uncle' aku bergerak keluar dari kedai, melintas jalan, berjalan beberapa meter aku pun sampai ke gate balai. Pakcik Wonh masih di situ berdiri, berkawal.

Kadang-kadang aku bangga jadi anak polis tapi kadang-kadang aku malu.

Bangga la sebab semua orang kenal kami dan abah. Sebut ja nama abah semua kenal. Tapi malu di sekolah bila abang datang hantar kami naik landrover polis, atau naik vespa dan pakai uniform.

Tapi selalunya mak yang hantaq pi sekolah, kadang-kadang jalan kaki, kadang-kadang naik basikal.

Kat sekolah banyak budak kampung, depa selalu kata kami kaya hanya sebab abah polis.

Cikgu kami Kak Na dengan Kak Chaq. Kat sekolah kami panggil cikgu la tapi. Kami pun tak tau pasai pa. Memang macam tu..

Kami sampai di tangga rumah, kasut yang berserakan tadi sudah kemas tersusun. Aku tengok Chik sedang menonton tv dengan muka yang kelat. Aku agak mak yang paksa dia susun kasut selepas apa yang berlaku tadi.

Dia menjeling memandang kami yang baru pulang. Jelas di tangan kanan, kami tengah pegang batang aiskrem yang kosong sementara tangan kiri memegang bungkusan kain mak. Poket skirt kami kembung penuh dengan cekelat dan kuaci. Aiskrem sat ja habis... bukti punca gigi aku rongak dan hitam.

'cantiknya muka.. pi basuh mulut. Belemoih.' Teguq mak sebaik memandang wajah kami.

'tembakau mak mana ?' tanya mak.

Alamak sumpah kami lupa sungguh. Mak tak marah kami, mak hanya marah Chik. Mungkin Chik anak angkat hahaha....

'Alah.. nanti sat' dan dan tu kami turun berlari ke kedai semula. Jarak rumah ke kedai hanya seberang jalan dan itu adalah laluan hari2 kami. Walau kami baru 5 tahun, tapi kami dah biasa. Lagipun kami anak polis, kami kene berani dan kuat.. Abah kata. Yang pun kata. Sebab tu Chik jadi lagu tu kot.

'Ali pegi mandi, nanti mak goreng ayam kicap' kami dengaq arahan mak memujuk Chik masa kami dah kat tanah.

Eleh.. merajuk rupanya. Aku takdak simpati kat Chik tapi kadang-kadang bila dia selalu kena marah aku kesian jugak. Kesian sat ja, lepaih tu dia akan sakitkan hati kami lagi.

Kat bawah Kak Zuraini dan Makcik Minah baru sampai. Pak Yusuf lengkap beruniform masuk ke perkarangan balai sambil meninjau timba timba bomba yanga ada pasir dan air di bawah pondok kecil yang di tulis AWAS kebakaran.

'Wati, mak ada' tanya Makcik Minah.

'Ada, tengah menjait' kami behenti berlari dan menyalami Kak Zuraini dan Makcik Minah. Mereka sekeluarga sangat akrab dengan kami.

'hang ni nak pi mana ni?' Tanya Kak Zuraini.

'pi Kedai beli tembakau' balas kami.

'mak cheq nak pi kedai. Nak sekupang' ujar Kak Zuraini kepada Makcik Minah.

Tanpa berlengah Makcik Minah mengeluarkan duit syiling dari dompet kecik yang sedang dipegangnya. Dia menyerahkan dua puluh sen.

'nah sorang sekupang' bagi Makcik Minah.

'Yeay... ' sorak Kak Zuraini ketika menyambut duit syiling dari emaknya.

'jom kaih, kita beli keropok' ajak kak Zuraini.

'kami dah beli tadi koci dengan cekelat, satgi kita makan sama' sambil menepuk poket kami yang kembung. Kami memang tak kedekut dengan kawan-kawan. Dengan Chik ja kami berkira. Kak Zuraini dah mengaku jadi kakak kami sebab dia suka kami.

Semua orang sayang kami. Mak kata masa kami baru lahir Kak Zuraini rajin tolong jaga kami, dia suka budak kecik. Chik ja tak suka kami sebab dia nak adik lelaki. Alah nasib baik aku jadi pompuan aku tak hingin aku geng dengan dia.

'takpa la, ni mak kami bagi' Ajak Kak Zuraini.

'kami posa, kami beli nak simpan berbuka' sambung Kak Zuraini.

Hebatnya dia, bisik hati aku. Tapi Chik pun posa, tapi kenapa Chik tak sehebat Kak Zuraini, Chik sama sekolah dan sama darjah dengan Kak Zuraini dengan Mei Mei.

Kami berdua bergandingan tangan keluar dari kawasan berek polis. Abah sudah berada di kawasan balai, memerhati kami berdua. Aku melambai abah sambil tersenyum.

Abah kami hensem, lelaki paling hensem dan gagah dalam dunia aku. Kak Zuraini tersengeh memandang abah dan melambai.

Kak Zuraini cantik, mata mulat, rambut kerinting kasar dan hitam pekat. Aku suka tengok alis mata dia yang lebat dan lentik. Aku pernah cakap kat abah nak buat rambut macam Kak Zuraini. Abah kata aku mana ada rambut...

Aku tak cantik, rambut aku oren, sampai Mak Mah jiran berek yang dok seberang blok panggil kami asamboi sebab dari jauh dia tak nampak rambut kami, dia kata dari jauh macam asam boi, warna merah kepala kami. Tapi kami tak marah sebaliknya kami rasa istimewa sebab mana ada orang lain macam kami hahaha... sebab tu semua orang sayang kami

Aku sayang Mak Mah, kalau petang-petang tengok hindustan kat rumah dia, sambil tolong cari uban. Dapat sekupang.. hehe tapi selalunya Atan yang dok ulit pala Mak Mah dan jugak jadi tukang baca sarikata kat Mak Mah masa tengok cita hindustan. Mak Mah tak reti membaca. Atan anak jiran sebelah rumah Mak Mah. Kami semua sama.. semua rumah adalah rumah kami. Kalau kami main di rumah depa kira dengan pakej minum pagi, lunch dan dinner. Mana mana rumah dalam berek adalah rumah kami semua. Depa layan kami..

Mak Mah, suami dia Pakya, baik. Tak pernah aku tengok dia marah, muka selalu senyum. Aku dengaq Pakya dah nak pencen, nanti depa pindah Bukit Mertajam. Mesti dah tak best..

Semua jiran-jiran dah macam keluarga, Makcik Minah, mak kak Zuraini tak duduk berek, depa dah beli rumah sendiri kat Sungai Yan, aku dah pi rumah dia. Best. Belakang rumah dia ada sawah padi. Abah kata nanti pencen abah nak buat rumah kat Batu Hampaq, aku bersorak bila dengaq cerita abah. Tapi mak tak suka, mak nak balik Negeri Sembilan.

Aku balik ke rumah selepas membeli tembakau. Tanpa berlengah kami serahkan kepada mak. Chik sudah siap mandi, rambutnya berkilat di sapu minyak rambut, dia menonton tv tanpa memperdulikan mak dan Makcik Minah yang rancak berbual.

'Makcik Minah, terima kasih na' ujar aku kepada Makcik yang memberikan aku sepuluh sen.

Chik menjeling, tapi aku lihat dalam genggaman dia ada syiling, aku tak pasti berapa tetapi aku tau Makcik Minah bagi. Makcik Minah memang sangat pemurah.

Plastik baju Makcik Minah sudah di ribanya, mak menyembat hujung baju yang ditempah sambil berbual. Laju tangan mak bekerja, mak tak pernah duduk diam. Menjahit, memasak, berkebun, berkemas semua mak buat. Mak aku ada ilmu magik. Kuah raya sudah siap berbalang di dapur. Malam tadi aku terjaga, aku tengok Yang, mak dan Nyah membakar biskut raya. Aku aku tak mampu untuk membantu, mengantuk sangat.

'Mak baju raya adik dah siap ke?' Tanya aku walau aku tahu jawapannya belum.

'nanti mak potong la' balas mak tanpa menjawab soalan aku.

Makcik Minah tersenyum memandang, Kak Zuraini duduk berdekatan dengan Chik menonton tv. Kami sudah macam adik bradik.

Kak Zuraini hanya memegang keropok yang dibelinya, baru aku teringat yang dia puasa. Kami kecik lagi abah kata nanti tahun depan baru puasa. Aku pernah mencuba untuk puasa, seksanya Allah saja yang tau. Mak kata macam tulah rasa oraang susah yang tak ada makanan. Hmm... 

Kami duduk tepi tangga makan koci sorang-sorang. Buah-buah jambu segar berjuntaian dari pokok di sebelah kanan rumah, tempat Chik dan Yang lepak. Kami tak berani panjat tinggi, abah tak bagi. Abah takut kami jatuh sebab abah sayang kami. Kami selalunya duduk di perdu pokok.

Raya lagi 3 hari, baju raya aku masih tak berpotong. Mak sibuk sangat. Yang dan Nyah rajin buat kueh raya, tugas kami senang ja, tukang rasa atau sapu teloq atas biskut raya. Yang kata prektis buat lukisan nanti kami pandai melukih. Ya ka... ? Kembang hidung kami bila abah puji kata kami rajin. Hehehe Chik lari bila dengaq abah kata lagu tu. Cemburu la tu...

'Mak, bila nak potong baju adik?' Kami dah tak sabaq. Semalam Yan mai rumah, anak sarjan Umaq tayang baju raya dia. Mak dia jahit sendiri jugak. Tapi mak dia tak ambik upah, stakat jait baju keluarga. Tak sabaq pulak aku nak tayang baju aku. Selalunya mak akan buat baju kurung dan baju gaun atau skirt. Kami tak kisah baju apa pun, janji baru baru.

'mak buat baju adik last sebab paling cantik' puji mak memujuk.

Kami tersengeh-sengeh gembira. Mesti baju Chik tak cantik.

Besok dah nak raya, lepaih berbuka baru mak pegang ain baju Chik, mak potong dan lepaih tu baju kami. Kami setia memerhati, mak jait kejap sangat sat-sat tu dia panggil Chik suruh kelim tepi baju dan buh butang baju dan cangkung seluaq skali.

Aku tengok Chik kemain suka. Aku tau sebab apa, sebab baju aku tak siap lagi. Mak buat baju dia dulu.

Eleh tak cemburu pun mak pun tengah buat baju kami. Sat-sat tu mak suruh kami terai baju kami pulak. Yallah senang ja buat baju rupanya, lepas puas hati dengan ukuran, mak suruh kami jait butang baju dan cangkuk kain sendiri. Kelim kami tak reti, mak buatkan. Chik, Yang dan Nyah semua kena buat sendiri. Baju abah ja mak buat penuh, abah takdak masa nak buat semua tu abah keja.

Lepaih siap baju kurung aku, mak buat gaun tingkat-tingkat untuk aku, warna hijau ada renda kat setiap tingkat. Last skali mak buat skirt dua, satu Yang dan satu lagi untuk kami. Mak kata Nyah tak suka pakai skirt, untuk Nyah mak dah buatkan meksi labuh, dah siap lama dah.

Malam tu aku tidoq dengan lena. Besok nak raya. Kasut raya masih dalam kotak ada tepi katil, rasa nak tidoq pakai baju dan kasut raya.

Besok nak pi semayang raya...

Aku tebangun bila dengaq riuh-rendah di luar bilik. Yong dan Chik dah siap nak ikut abah ke masjid.

Diorg tak kejut aku binawe.

Aku tengok mak relek je di dapur siapakan hidangan tanpa bersiap layaknya di hari raya.

Yang masih menggosok baju, Nyah sedang mandi.

'Mak takpi semayang raya ka?' Tanya aku.

'cuti' balas mak ringkas.

Cuti... semayang raya pun ada cuti ka. Fikir aku.

'adik nak pi !' Balas aku mula tersedu sedan.

'mandi pun belum nak pi apa' balas Yang mencebik dan seraya itu aku sudah mulai menangis.

'tak payahlah, dah lambat ni' pujuk mak dari jauh dia masih sibuk menyiap juadah raya. Nyah sudah selesai mandi terus ke bilik dan bersiap.

'pi tengok baju raya adik kat luaq tu Yang dah gosokkan' arah mak.

Mendengar tentang baju, aku terus diam dan tersengeh. Yang menjuih bibir tanda meluat.

'hehehehee...' aku pandang Yang. Tanpa berterima kasih aku ke depan mencari baju.

'Mandi' jerit mak.

Aku sudah hilang ke luar. Selepas menjengok baju aku pantas mencapai tuala untuk mandi.

No comments:

Post a Comment

I like to see your comment...